Rabu, 5 Januari 2022 | 8:03pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Dua ditahan bantu siasatan kes rasuah RM500,000

JOHOR BAHRU: Seorang pesara dan seorang pengurus syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan nilai kira-kira RM500,000, tiga tahun lalu.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki masing-masing berusia 61 tahun, ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada 2019 hingga 2020, suspek pesara yang sebelum ini bertugas sebagai pengurus syarikat milik kerajaan di Segamat dipercayai menerima rasuah daripada pengurus syarikat terbabit sebagai balasan mendapatkan kerja kontrak perladangan di daerah itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Kedua-kedua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi mendapatkan permohonan reman.

Berita Harian X