Rabu, 5 Januari 2022 | 3:19pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Buruh binaan dipenjara 3 bulan ugut, bogel

SELAYANG: Seorang buruh binaan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mengugut untuk membunuh jirannya dan berbogel di hadapan rumah mangsa, tahun lalu.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap A Anbalagan, 38, atas kesalahan mengugut untuk bunuh jirannya dan penjara dua bulan kerana berbogel di tempat awam.

Mahkamah bagaimanapun, memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 3 November lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Anbalagan didakwa mengugut membunuh jirannya dengan niat untuk mendatangkan cedera di Batu Arang, Rawang, di sini, jam 8.40 malam, pada 2 November 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut dituduh melakukan perbuatan lucah dengan berbogel di hadapan rumah mangsa, jam 7 pagi, pada 3 November 2021 dan didakwa mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Mariappan, memberitahu mahkamah ketika kejadian dia mabuk dan tidak ingat apa yang berlaku selain memohon maaf atas apa yang berlaku.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal, membantah rayuan itu dan memohon

hukuman setimpal kerana tertuduh adalah jiran kepada mangsa.

Berita Harian X