Rabu, 5 Januari 2022 | 2:35pm

Ibu dan kekasihnya dituduh sebabkan kematian anak

KLANG: Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, M Sutha, 26, iaitu ibu kandung kepada kanak-kanak itu dan S Davandakumar, 28, hanya mendiamkan diri dan mengangguk ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P Sarulatha.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan bersama, mereka didakwa menyebabkan kematian K Nithish yang berusia tiga tahun ketika itu di sebuah rumah di Jalan Hulubalang 28, Taman Sentosa dekat sini antara jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang pada 24 Disember tahun lalu.

Justeru, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 kanun sama yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur'Ain Madihah Zilkifli tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Mac depan.

Berita Harian X