Rabu, 5 Januari 2022 | 1:49pm
Pengurus syarikat ditahan SPRM bagi membantu kes rasuah lebih RM500,000. - Foto ihsan SPRM
Pengurus syarikat ditahan SPRM bagi membantu kes rasuah lebih RM500,000. - Foto ihsan SPRM

Pengurus syarikat direman bantu kes rasuah lebih RM500,000

PUTRAJAYA: Seorang pengurus syarikat direman empat hari bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah melebihi RM500,000.

Suspek direman bermula hari ini sehingga 8 Januari oleh Majistret Amanina Mohamad Anuar selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) .

Menurut sumber, suspek berusia 43 tahun itu ditahan petang semalam di pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan.

Difahamkan, suspek yang bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat cari gali meminta dan menerima rasuah daripada pengusaha stesen minyak sekitar Kuala Lumpur sebagai dorongan bagi mengelakkan penilaian prestasi stesen minyak pemilik berkenaan terjejas.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab Rahman mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Berita Harian X