Rabu, 5 Januari 2022 | 12:25pm
Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran membabitkan dua kedai alat ganti kereta, dua kedai motosikal dan aksesori di Petaling Jaya, malam tadi. NSTP/Ihsan Bomba
Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran membabitkan dua kedai alat ganti kereta, dua kedai motosikal dan aksesori di Petaling Jaya, malam tadi. NSTP/Ihsan Bomba

4 kedai di PJ terbakar

KUALA LUMPUR: Empat kedai berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Sri Manja, Jalan PJS 1/26 Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat insiden itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 9.39 malam.

Berikutan itu, seramai 40 anggota dengan tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penchala, BBP Seksyen 7, BBP Subang Jaya serta BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati kebakaran itu membabitkan empat premis iaitu dua kedai alat ganti kereta serta dua kedai motosikal dan aksesori.

"Kebakaran itu dapat dikawal jam 10.11 malam dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita Harian X