Rabu, 5 Januari 2022 | 11:00am
Tiga lelaki tempatan cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas serta terjatuh dari jambatan Sungai Klang berhampiran Centre Point, Klang. - Foto ihsan Bomba
Tiga lelaki tempatan cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas serta terjatuh dari jambatan Sungai Klang berhampiran Centre Point, Klang. - Foto ihsan Bomba

Seorang parah, dua cedera ringan kereta terjunam jambatan

KLANG: Seorang lelaki cedera parah manakala dua lagi cedera ringan selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam dari atas jambatan Sungai Klang berhampiran Centre Point dekat sini, tengah malam tadi.

Bagaimanapun, kesemua mangsa yang berusia 30-an itu berjaya keluar dari kereta sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pasukannya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 12.20 tengah malam.

"Menurut laporan awal, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki tiga lelaki warga tempatan terbabas dan terjatuh dari jambatan setinggi tiga meter (10 kaki) berdekatan Centre Point Klang arah Kuala Lumpur ke Klang.

"Akibat kemalangan itu, seorang daripada mangsa dipercayai mengalami kecederaan dalaman manakala dua lagi cedera ringan.

"Kesemua mangsa berjaya keluar sendiri dari kereta sebelum pasukan bomba tiba di lokasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang cedera kemudian di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X