Selasa, 4 Januari 2022 | 2:03pm
Operator sampan, Mahmud Sulaiman (berbaju kemeja T kolar warna merah) dibawa keluar dari perkarangan Mahkamah Kangar diiringi pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis. - FOto NSTP/Aizat Sharif
Operator sampan, Mahmud Sulaiman (berbaju kemeja T kolar warna merah) dibawa keluar dari perkarangan Mahkamah Kangar diiringi pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis. - FOto NSTP/Aizat Sharif

Operator sampan dituduh seludup migran Myanmar

KANGAR: Seorang operator sampan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan terbabit dalam penyeludupan dua migran warga Myanmar di Kuala Perlis pada Disember lalu.

Tertuduh, Mahmud Sulaiman, 51, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan mahkamah daripada tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mahmud sebagai operator sebuah sampan tanpa pendaftaran didapati terbabit dalam penyeludupan migran warga Myanmar iaitu Wey Yan, 15, dan kakaknya, Pan Par, 20 di perairan Sungai Kuala Perlis, sekitar jam 9.20 malam, 24 Disember tahun lalu.

Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum mengikut Seksyen yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 15 tahun serta denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, tertuduh juga boleh dikenakan perintah lucut hak terhadap sampan tanpa nombor pendaftarannya bersama enjin model Suzuki.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norshuhada Mohd Yatim manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Shaqira Ibrahim.

Mahkamah menetapkan 8 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam kes berkaitan juga, mahkamah menangguhkan pertuduhan terhadap dua beradik pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ke 3 Februari ini.

Penangguhan itu bertujuan memberi masa kepada mahkamah melantik seorang jurubahasa Myanmar sebagai penterjemah kepada tertuduh.

Ketika prosiding mahkamah, tiada pertuduhan dibacakan kepada tertuduh, Wey Yan dan Pan Par. Kedua-duanya juga tidak diwakili peguam.

Berita Harian X