Selasa, 4 Januari 2022 | 11:45am

Bapa dipenjara 3 tahun dera anak

KOTA BHARU: Seorang bapa dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana mendera anak perempuannya yang berusia lapan tahun di Kampung Sungai Kelong, Pasir Puteh, akhir bulan lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Wan Azlan Wan Ali, 44, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menganiayai anak perempuan kandung berusia lapan tahun dengan cara memukul menggunakan sebatang kabel sehingga mangsa cedera, di sebuah rumah di Kampung Sungai Kelong, jam 1 pagi 28 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalna memohon hukuman setimpal dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh yang sepatutnya melindungi anak.

Bagaimanapun, tertuduh memohon hukuman dikurangkan memandangkan beliau sudah insaf dan tidak akan mengulanginya.

Wan Azlan dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Wan Azlan dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, hari ini. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X