Ahad, 2 Januari 2022 | 10:52am
Polis memeriksa mayat seorang wanita yang dijumpai terapung dalam tasik berdekatan Sky Ride Festival Park, Presint 2 semalam. - Foto ihsan PDRM.
Polis memeriksa mayat seorang wanita yang dijumpai terapung dalam tasik berdekatan Sky Ride Festival Park, Presint 2 semalam. - Foto ihsan PDRM.

Mayat terapung disangka patung

PUTRAJAYA: Mayat wanita yang sudah mula mereput ditemui terapung dalam tasik berdekatan Sky Ride Festival Park, Presint 2, Putrajaya, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata mayat wanita yang belum diketahui bangsa dan usia itu ditemui seorang pengawal keselamatan yang pada mulanya menyangkakan patung ketika sedang membuat rondaan di taman tema berkenaan, jam 6.30 petang.

"Polis menerima panggilan jam 6.55 petang semalam daripada orang awam yang memaklumkan penemuan satu mayat.

"Mayat dengan ketinggian dianggarkan kira-kira 160 sentimeter itu ditemui dalam keadaan terlentang, berpakaian lengkap dan dipercayai berada di dalam air antara dua hingga tiga hari.

"Ketika ditemui mangsa berpakaian blazer berwarna hitam, baju T berwarna biru dan skirt pendek kain denim berwarna hitam serta tali pinggang pada skirt berlogo Versace, selain tidak memakai kasut atau selipar," katanya.

Menurutnya, turut ditemui pada mangsa tiga cincin perak di tangan kanan dan satu gelang tangan juga diperbuat daripada perak di pergelangan tangan kanan.

Bagaimanapun, Asmadi berkata, tiada barangan peribadi milik mangsa dikesan di sekitar kawasan sepanjang satu kilometer dari kawasan mayat terbabit ditemui.

"Semakan mendapati tiada rekod orang hilang dilaporkan dalam masa terdekat dan identiti mangsa belum dikenalpasti.

"Siasatan ke atas mayat dijalankan oleh pasukan Unit Forensik Polis Kuala Lumpur dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya pada jam 9.40 malam tadi untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi awal sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Berikutan itu, Asmadi berkata, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polisi Daerah (IPD) Putrajaya di talian 03- 88862145 atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Hafiza di talian 019 8926572.

Berita Harian X