Ahad, 2 Januari 2022 | 8:46am
Lima penumpang bas persiaran terselamat manakala seorang pemandu lori cedera dalam kemalangan di Kilometer (KM)345.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara,malam tadi. - Foto NSTP/Ihsan JBPM
Lima penumpang bas persiaran terselamat manakala seorang pemandu lori cedera dalam kemalangan di Kilometer (KM)345.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara,malam tadi. - Foto NSTP/Ihsan JBPM

Lori rempuh bas, lima terselamat

BIDOR: Lima penumpang bas persiaran terselamat selepas bas yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 345.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, berkata pihak bomba menerima maklumat berhubung kejadian jam 11.05 malam.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor serta Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) BBP Slim River dikejarkan ke tempat kejadian.

"Tiba di tempat kejadian mendapati terdapat sebuah lori muatan tiga tan dipercayai telah terbabas lalu melanggar bas persiaran terbabit.

"Terdapat lima penumpang di dalam bas terbabit bagaimanapun selamat," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, pemandu lori yang berumur 40-an mengalami kecederaan manakala kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Anggota bomba menggunakan peralatan kecemasan bagi mengeluarkan pemandu lori terbabit.

"Mangsa yang terselamat diberi rawatan awal manakala yang cedera dibawa ke hospital berdekatan dengan menggunakan jentera EMRS," katanya.

Beliau berkata, operasi tamat pada jam 12.00 tengah malam.

Berita Harian X