JOHOR BAHRU: Perintah reman terhadap lelaki Rohingya dikenali sebagai Long Tiger yang ditahan polis di Sungai Petani, Kedah pada 28 Disember lalu, disambung dua hari lagi bermula esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, mengesahkan perintah reman terhadap suspek disambung hingga 3 Januari ini.
Terdahulu, Long Tiger atau Abdul Hamim Ab Hamid, 32, dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak, bersama tiga lelaki lain termasuk seorang berperwatakan wanita berusia antara 36 hingga 46 tahun, dipercayai memberi perlindungan kepada suspek.
Perintah reman terhadap Long Tiger dan tiga lagi suspek bermula 29 Disember lalu sehingga hari ini, dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin.
Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak, Johor sebelum perbicaraan bermula pada jam 11.55 pagi, 15 Disember lalu.
Long Tiger terus menjadi buruan polis manakala peguamnya, Datuk Sharudin Ali, menarik diri daripada mewakilinya.
Dua anggota polis turut ditahan tugas bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan kerana disyaki terbabit secara langsung atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan tahanan melarikan diri.