Sabtu, 1 Januari 2022 | 10:24am
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat memeriksa kenderaan dalam sekatan jalan raya di sekitar Alor Setar. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat memeriksa kenderaan dalam sekatan jalan raya di sekitar Alor Setar. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Polis Kedah keluar 397 saman malam Tahun Baharu

ALOR SETAR: Polis Kedah mengeluarkan 397 saman terhadap pengguna jalan raya dalam Op Khas Sempena Tahun Baru, malam tadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata antara kesalahan yang dilakukan antaranya lesen memandu tamat tempoh, lesen kenderaan motor dan insuran tamat tempoh, penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, penggunaan lampu HID dan lain-lain kesalahan teknikal.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

"Hasil pemeriksaan mendapati banyak saman yang berkaitan dengan cukai jalan tamat tempoh dikesan mungkin disebabkan mereka masih menganggap bahawa tak perlu lagi bayar cukai jalan namun sebenarnya buat masa sekarang cukai jalan perlulah dibayar.

"Selain itu, kita juga dapati kebanyakan pemandu e-hailing pun ada yang cukai jalan kenderaannya tak dibayar, jadi ini akan menyebabkan jika berlaku kemalangan dan sebagainya akan menyebabkan tak dapat membuat tuntutan kerugian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Op Khas Ambang Tahun Baru 2022 di bandar raya ini, malam tadi.

Kamarul Zaman berkata, kesemua kesalahan itu diambil tindakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Memandu Secara Melulu Dan Merbahaya), Seksyen 45A (1) APJ 1987 (Memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dalam badan) dan Seksyen 186A Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam menjalankan tugas).

Beliau berkata, objektif utama operasi berkenaan adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan, terutama kemalangan maut selain penguatkuasaan terhadap samseng jalanan yang menjalankan aktiviti lumba kereta dan motosikal.

"Aktiviti penguatkuasaan PDRM Kedah akan diteruskan bagi memastikan pengguna jalan raya mengikut peraturan dan undang-undang lalu lintas, selain mengawal ketenteraman trafik yang diselaraskan dengan prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, hasil pemantauan pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) sambutan ambang Tahun Baharu 2022 di Dataran Bandar Alor Setar mendapati kebanyakan pengunjung mematuhi SOP untuk mencegah penularan COVID-19.

Berita Harian X