Jumaat, 31 Disember 2021 | 3:23pm

Jutawan mohon batal saman anak

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung MCA Tan Sri Kam Woon Wah memohon untuk membatalkan saman untuk menentukan kesihatan mental beliau yang difailkan oleh anak lelakinya, Datuk Seri Andrew Kam Tai Yeow.

Dalam permohonannya untuk membatalkan saman pemula itu, jutawan berusia 92 tahun itu berkata, tuntutan yang difailkan anak lelakinya tidak mendedahkan sebarang kausa tindakan yang munasabah terhadapnya.

Woon Wah berkata, saman itu juga mengaibkan, menindas, remeh dan menyusahkan serta menyalahgunakan proses mahkamah.

Katanya, beliau pada masa material, dapat menguasai minda dengan sepenuhnya dan berkemampuan penuh untuk menguruskan hal ehwal diri dan syarikat di bawah tanggungjawabnya seperti disahkan melalui laporan psikiatri oleh perunding psikiatri bertarikh 16 Disember lalu.

Menurutnya, anak lelakinya yang dinafikan olehnya, tiada hak untuk memfailkan saman itu.

Woon Wah memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi pada 27 Disember lalu melalui firma guaman Tetuan YC Wong.

Pada 20 Disember lalu, Tai Yeow memfailkan saman pemula bagi menentukan kesihatan mental bapanya yang didakwa merosot baru-baru ini.

Beliau memohon mahkamah memutuskan bila kesihatan mental bapanya merosot dan sama ada defendan (Woon Wah) mampu untuk memberikan arahan kepada peguamnya dalam tempoh itu.

Dalam saman pemula itu, Tai Yeow turut memohon perintah supaya bapanya diperintahkan hadir ke di mahkamah bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001 bagi membolehkan pakar kesihatan mental yang difikirkan sesuai oleh mahkamah untuk mengakses penuh dan tanpa had ke atas jutawan itu bagi tujuan pemeriksaan sendiri menurut Seksyen 54 Akta Kesihatan Mental 2001.

Jika bapanya didapati sebagai seorang kecelaruan mental dan tidak mampu menguruskan diri serta hal ehwalnya sendiri, Tai Yeow memohon perintah mahkamah untuk melantik jawatankuasa khas bagi menguruskan hal ehwal defendan dan estetnya

Berita Harian X