Jumaat, 31 Disember 2021 | 3:11pm
Siti Nordiana hadir di Mahkamah Kuala Lumpur, Isnin minggu lalu. - NSTP/Aswadi Alias
Siti Nordiana hadir di Mahkamah Kuala Lumpur, Isnin minggu lalu. - NSTP/Aswadi Alias

2 mohon kes didengar Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Dua daripada lima defendan dalam kes saman RM2.5 juta oleh penyanyi Siti Nordiana Alias atau Nana, mengemukakan permohonan supaya perbicaraan kes yang sedang didengar di Mahkamah Sesyen di sini, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Permohonan itu difailkan Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42, masing-masing selaku defendan keempat dan kelima menerusi saman pemula.

Menerusi saman pemula yang difailkan pada 16 Disember lalu, kedua-dua defendan menyatakan bahawa jumlah keseluruhan tuntutan oleh plaintif (Siti Nordiana) terhadap defendan iaitu sebanyak RM2.5 juta adalah melebihi bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Terdahulu, Peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana ketika dihubungi media berkata permohonan untuk memindahkan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz secara dalam talian pada Isnin ini.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Haslinda A Raof.

Pada perbicaraan lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan menetapkan perbicaraan kes itu disambung sembilan hari bermula 4 Januari depan.

Penyanyi Lan Solo dan Syura hadir di Mahkamah Kuala Lumpur, Isnin minggu lalu. - NSTP/Aswadi Alias
Penyanyi Lan Solo dan Syura hadir di Mahkamah Kuala Lumpur, Isnin minggu lalu. - NSTP/Aswadi Alias

Mahkamah turut menetapkan 7, 11, 17, 19, 20 dan 28 Januari serta 3 dan 4 Februari untuk perbicaraan kes.

Prosiding perbicaraan kes itu setakat ini mendengar keterangan Siti Nordiana melalui sesi pemeriksaan balas.

Siti Nordiana, 37, memfailkan saman RM2.5 juta terhadap kedua-duanya serta tiga yang lain atas dakwaan memfitnahnya di platform Instagram.

Tiga defendan lain ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, dan isterinya Nur Sheila Hassim, 36, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 35.

Berita Harian X