Jumaat, 31 Disember 2021 | 12:26pm

Buruh cabul budak dipenjara 6 tahun, sebat

IPOH: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini selepas mengaku bersalah atas dakwaan mencabul kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang mempunyai talian persaudaraan dengannya, Sabtu lalu.

Hakim Norita Mohd Ardani turut memerintahkan tertuduh berusia 38 tahun menjalani dua tahun tempoh pengawasan polis selepas membuat pengakuan itu bagi kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di belakang sebuah rumah di Gopeng kira-kira jam 9 malam 25 Disember lalu.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta diletakkan dalam pengawasan polis bagi tempoh tidak kurang dari setahun namun tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Fakta kes itu juga menyatakan mangsa dihampiri oleh tertuduh ketika bermain di rumah keluarga tertuduh sebelum dia melakukan perbuatan cabul.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amanina Zulkefli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelumnya, tertuduh memohon hukuman terhadapnya diringankan memandangkan dia hanya bekerja sebagai buruh kampung selain menjaga serta menanggung ayah yang sedang sakit.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang anggota polis tentera berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merompak ke atas dua beradik wanita, 21 Disember lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, S R Alex Praba, 21, didakwa merompak Siti Zuleha Rusli, 27, dan Noor Sahfikaq Rusli, 20, di kawasan kebun kelapa sawit bersebelahan Jalan Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar di daerah Manjung kira-kira jam 12.15 pagi.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan bagi setiap pertuduhan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam Vivien Michelle.

Pendakwaan memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM10,000 terhadap tertuduh sebelum hakim membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin, mengambil kira pendapatan bulanan tertuduh selain adalah pencari nafkah tunggal keluarganya.

Hakim menetapkan 31 Januari 2022 untuk sebutan semula kes serta memerintahkan supaya tertuduh tidak melakukan sebarang kacau ganggu terhadap mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tertuduh (baju merah belang) dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh dan mengaku bersalah mencabul kanak-kanak perempuan berusia empat tahun - Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Tertuduh (baju merah belang) dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh dan mengaku bersalah mencabul kanak-kanak perempuan berusia empat tahun - Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Berita Harian X