Jumaat, 31 Disember 2021 | 12:14am
Mayat tiga wanita dan seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di kedudukan 14.2 batu nautika barat Pulau Buloh, Pulau Sembilan dekat Bagan Datuk. - Foto Maritim Malaysia
Mayat tiga wanita dan seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di kedudukan 14.2 batu nautika barat Pulau Buloh, Pulau Sembilan dekat Bagan Datuk. - Foto Maritim Malaysia

Empat mayat terapung disyaki mangsa bot karam

LUMUT: Mayat seorang lelaki dan tiga wanita yang ditemukan terapung tanpa identiti di kawasan perairan Pulau Jarak, Pulau Pangkor, di sini, pagi tadi disyaki mangsa bot karam yang dilaporkan di Sekinchan, Selangor pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya dimaklumkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Perak berhubung penemuan mayat berkenaan pada 4.50 petang tadi.

"Empat mayat berkenaan dihantar ke Jeti Kastam Kampung Acheh, Sitiawan pada jam 6.30 petang sebelum polis membawa mayat itu ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM)," katanya dihubungi.

Beliau berkata, sebelum itu, terdapat satu laporan polis dibuat seorang individu di Sekinchan pada 2.49 petang, Isnin lalu berhubung kejadian sebuah bot tenggelam di perairan berkenaan.

Individu berkenaan mengatakan dia dihubungi pekerjanya jam 3.30 petang, Sabtu lalu yang memaklumkan ternampak sebuah bot yang tidak pasti pemiliknya dinaiki kira-kira 20 individu yang bangsanya tidak pasti tenggelam di kawasan perairan berkenaan.

Petang tadi media melaporkan, Maritim Malaysia menerima maklumat penemuan empat mayat berkenaan daripada komuniti maritim pada jam 9.05 pagi sebelum mengerakkan aset ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

Maritim tidak menolak kemungkinan kejadian itu terdapat unsur–unsur jenayah di laut ekoran tiada sebarang aduan orang jatuh laut atau permohonan bantuan perubatan diterima.

Berita Harian X