Khamis, 30 Disember 2021 | 3:40pm
Dua periuk yang berisi air rebusan daun ketum ditemui dalam sebuah rumah di Kampung Padang Bongor ketika serbuan anggota dari Balai Polis Kota Bharu. - Foto POLIS
Dua periuk yang berisi air rebusan daun ketum ditemui dalam sebuah rumah di Kampung Padang Bongor ketika serbuan anggota dari Balai Polis Kota Bharu. - Foto POLIS

Polis serbu rumah ketum

KOTA BHARU: Polis menyerbu rumah dipercayai dijadikan tempat memproses air ketum di Kampung Padang Bongor, di sini kelmarin.

Polis merampas dua periuk besar daun ketum yang sedang direbus, beberapa plastik air ketum yang siap diikat dan sejumlah daun ketum di dalam plastik hitam yang disyaki untuk direbus.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata serbuan dijalankan anggota dari Balai Polis Kota Bharu pada jam 7.45 malam.

"Ketika serbuan, terdapat empat lelaki berusia dalam lingkungan 21 hingga 28 tahun di dalam rumah terbabit.

"Pemeriksaan dalam rumah itu mendapati banyak peralatan yang digunakan untuk memproses air ketum seperti periuk, dapur gas, plastik untuk mengisi air ketum, getah pengikat serta alat penimbang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, air dan daun ketum itu dianggarkan bernilai RM1,000 dan semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 28 tahun positif dadah jenis methampethamine, manakala semua suspek memiliki rekod lampau berkait dadah serta jenayah.

"Mereka ditahan reman selama empat hari bermula semalam hingga 1 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun," katanya.

Berita Harian X