Rabu, 29 Disember 2021 | 5:08pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Pekerja asing maut dihempap tiang besi kren

KUALA LUMPUR: Polis menyiasat insiden seorang lelaki warga asing maut selepas dihempap tiang besi kren di tapak pembinaan di Jalan Kuchai Maju, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 11 pagi, pekerja tapak pembinaan berusia 42 tahun itu meninggal dunia akibat parah pada kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata siasatan awal mendapati tiang besi itu sudah diturunkan ke bawah, namun ia menjadi tidak stabil lalu menghempap mangsa.

"Balai Polis Sri Petaling memulakan siasatan insiden tiang besi kren terjatuh dan meragut nyawa seorang pekerja tapak pembinaan berkenaan.

"Polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus tanpa sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kemalangan ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Orang ramai yang ada maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan.

Berita Harian X