Rabu, 29 Disember 2021 | 4:18pm
Tertuduh, Mohammad Ambree Yunos (tengah) bersama dua peguam belanya.
Tertuduh, Mohammad Ambree Yunos (tengah) bersama dua peguam belanya.
 Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulang, bersama peguam belanya.
Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulang, bersama peguam belanya.

Suami isteri didakwa bunuh pembantu rumah

KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh pembantu rumah mereka di sebuah kondominium bandar raya ini, di antara 10 hingga 13 Disember lalu.

Tertuduh, Mohammad Ambree Yunos, 40, dan isterinya, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulang, 33, menghadapi tuduhan melakukan pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.

Berdasarkan pertuduhan, pasangan itu didakwa membunuh pembantu rumah, Nur Afiyah Daeng Damin, 28, di rumah mereka di kondominium berkenaan yang terletak di Jalan Lintas Lido dekat sini, antara 10 hingga 13 Disember lalu.

Tertuduh, Mohammad Ambree adalah seorang kontraktor, manakala isterinya, Etiqah yang juga bekas finalis program MasterChef Malaysia 2012 adalah seorang jurutera.

Pendakwaan kes dijalankan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Irwan Suainbon dan Timbalan Pendakwa Raya, Ali Imran.

Ketika prosiding itu, Mohammad Ambree diwakili peguam bela, Ram Singh dan Kimberly Yee, manakala Etiqah pula diwakili peguam bela, Datuk Seri Rakbir Singh.

Sejurus prosiding pendakwaan selesai, pasangan itu dihantar ke penjara reman sehingga sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Februari depan.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, pasangan itu ditahan polis pada 14 Disember lalu, iaitu sehari selepas membuat laporan mendakwa menemui mayat pembantu rumah mereka di kondominium berkenaan, sejurus pulang daripada bercuti di Kundasang, Ranau.

Mereka kemudian dibebaskan atas jaminan polis pada 21 Disember lalu, sebelum diarah hadir menghadapi pertuduhan itu hari ini.

Beberapa ahli keluarga pasangan itu turut menemani tiga anak mereka yang masih kecil, hadir mengikuti prosiding pendakwaan yang berlangsung hari ini.

Berita Harian X