Rabu, 29 Disember 2021 | 1:54pm
Warga Bangladesh, Kamruzzaman, 37 (dua dari kanan), hadapi tuduhan membunuh teman wanitanya yang juga warga Indonesia di Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini.
Warga Bangladesh, Kamruzzaman, 37 (dua dari kanan), hadapi tuduhan membunuh teman wanitanya yang juga warga Indonesia di Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini.

Buruh Bangladesh didakwa bunuh teman wanita

GEORGETOWN: Seorang buruh binaan warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh kekasihnya yang juga warga Indonesia pada 4 Disember lalu.

Tertuduh, Kamruzzaman, 37, mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret R Manomani.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan di bawah kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh warga Indonesia, Sumita, 45, di sebuah unit kediaman di Sri Nipah, Medan Nipah dekat Sungai Dua di sini, di antara jam 9.30 malam 4 Disember hingga 1.20 pagi 6 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang sabitkan kesalahan membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Februari tahun depan bagi sebutan semula kes itu, sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Dalam prosiding berasingan, Kamruzzaman dihukum penjara lima bulan mulai hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan tinggal lebih masa di negara ini tanpa sebab munasabah, sedangkan pasport miliknya tamat tempoh pada 12 Mei 2019.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seskyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama,

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita warga Indonesia ditemukan mati dengan kesan kelar di dada, leher, perut dan telinga di tingkat tiga Apartmen Sri Nipah, Medan Nipah, Sungai Dua di sini, 6 Disember lalu.

Mayat wanita itu ditemukan dua lelaki warga Bangladesh dalam keadaan berlumuran darah dalam bilik sebelum menghubungi polis

.

Pemeriksaan polis turut menemukan tali dan dua bilah pisau pemotong daging berhampiran mangsa.

Berita Harian X