Selasa, 28 Disember 2021 | 3:22pm

Kilang proses pes otak udang kotor, diarah tutup dan dikompaun

BALIK PULAU: Persekitaran jijik dan meloyakan. Begitu yang menggambarkan keadaan sebuah kilang memproses pes otak udang di Pantai Acheh, di sini.

Malah lantai tempat simpanan bahan itu juga dipenuhi dengan tumpahan otak udang yang sudah berbau busuk.

Keadaan itu antara dikesan ketika pemeriksaan sepasukan pegawai Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menerusi Op Bersih hari ini.

Pegawai Kesihatan BKKM JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata, pihaknya turut menemukan puntung rokok berhampiran tempat pembungkusan otak udang berkenaan.

"Ketika pemeriksaan, terdapat bendasing ditemukan dalam otak udang yang sedang diproses.

"Otak udang yang sudah luput tarikh juga masih disimpan bersama dengan bekalan yang sudah siap bagi dipasarkan.

"Kita juga menemukan kulat dan ulat dalam bekas simpanan ," katanya kepada media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Wazir berkata, terdapat otak udang yang sudah dipek berada dalam keadaan tidak elok bagi dipasarkan walaupun belum melepasi tarikh tamat tempoh.

Katanya, pemilik premis memberi alasan bahawa otak udang yang sudah rosak tidak sempat dibuang namun alasan itu tidak boleh diterima.

"Kita juga meragui logo halal yang digunakan pada label dan akan syorkan dengan agensi berkaitan bagi mengambil tindakan.

"Premis itu juga pernah diserbu dan diarahkan tutup serta sudah diberi peringatan mengenai kebersihan namun didapati hari ini keadaannya tetap sama," katanya lagi.

Premis berkenaan dikenakan dua kompaun sebanyak RM5,000 dan diarah tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana gagal mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).

Penguat kuasa Kementerian Kesihatan memeriksa kebersihan kilang memproses pes otak udang di Pantai Aceh, Pulau Pinang - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli
Penguat kuasa Kementerian Kesihatan memeriksa kebersihan kilang memproses pes otak udang di Pantai Aceh, Pulau Pinang - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli
Berita Harian X