Selasa, 28 Disember 2021 | 2:26pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Dera bayi: Pemuda dipenjara, remaja perempuan ke Sekolah Henry Gurney

KUALA PILAH: Seorang pemuda dihukum penjara, manakala remaja perempuan yang bersekongkol dihantar ke sekolah akhlak Henry Gurney oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mereka mengaku bersalah mendera bayi berusia 16 bulan.

Tertuduh, Muhammad Afiq Abdullah, 23 dan remaja perempuan berusia 18 tahun mengaku salah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya secara bersama didakwa melakukan penganiayaan terhadap seorang bayi berusia 16 bulan hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal di bahagian kepala, mata, badan dan juga tapak kaki.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di FELDA Bukit Jalor, Tampin di antara 3 hingga 25 Ogos lalu.

Kedua-duanya dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan.

Susulan pengakuan bersalah itu, Norma menjatuhkan hukuman 24 bulan penjara dan hukuman tambahan mengikut Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu bon berkelakuan baik selama tempoh dua tahun ke atas Muhammad Afiq.

Remaja perempuan pula, diperintahkan ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga usia 21 mengikut Seksyen 76 Akta Kanak - Kanak 2001.

Pendakwaan terhadap pasangan itu dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala mereka diwakili peguam bela, Muhammad Syafiq Stewart Abdullah dan Nur Achinta Ezyana Sufian.

Berita Harian X