Selasa, 28 Disember 2021 | 1:51pm

Pembantu kantin jual rantai curi dipenjara enam bulan

KOTA BHARU: Seorang pembantu kantin dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menjual barang kemas yang dicurinya daripada seorang warga emas, November lalu.

Tertuduh, Nazrini Shuhada Abdullah, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memindahkan harta curi iaitu dengan menjual kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Smart Venture Sdn Bhd seutas rantai leher emas seberat 14.72 gram milik seorang warga emas wanita berusia 81 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah Desa Darul Naim Mukim Gunung, di sini, pada 30 November 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa berada di rumah seorang diri, tertuduh yang tidak dikenali datang bersama anaknya dengan menaiki motosikal dan menarik rantai emas yang dipakai warga emas itu.

Mangsa luka pada leher dan angggaran kerugian RM3,000 sebelum warga emas itu membuat laporan polis di Balai Polis Binjai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.

Terdahulu, Siti Atikah merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum kepada tertuduh kerana wanita itu mempunyai seorang anak yang kecil dan hanya bekerja sebagai pembantu kantin dengan pendapatan RM30 sehari.

"Saya percaya hukuman penjara menyebabkan wanita itu akan tinggal berasingan dengan anaknya. Hukuman ini akan diambil iktibar dan tidak akan mengulangi kesalahan sama," katanya.

Bagaimanapun, Asmah memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan, bermula hari ini.

Pembantu kantin, Nazrini Shuhada Abdullah, dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di Kota Bharu hari ini selepas didapati bersalah menjual barang kemas yang dicurinya daripada seorang warga emas di sebuah rumah Desa Darul Naim Mukim Gunung. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pembantu kantin, Nazrini Shuhada Abdullah, dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di Kota Bharu hari ini selepas didapati bersalah menjual barang kemas yang dicurinya daripada seorang warga emas di sebuah rumah Desa Darul Naim Mukim Gunung. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X