Selasa, 28 Disember 2021 | 12:52pm
 Lee Han Wee, 42, dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.
Lee Han Wee, 42, dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.

Penyelia syarikat didakwa memandu dalam mabuk

MELAKA: Seorang penyelia syarikat hiasan dalaman dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya yang lain.

Tertuduh, Lee Han Wee, 42, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Azureen Sahira Sauffee Apandi.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan di jalan raya di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan dan menyebabkan kematian Abdul Rahim Mohamad.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Limbongan, Melaka Tengah, jam 12.45 tengah malam, pada 29 November lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan) 2020, yang sabit kesalahan boleh dipenjara di antara 10 hingga 15 tahun dan denda di antara RM50,000 hingga RM100,000.

Selain itu, tertuduh juga hilang kelayakan memegang lesen memandu sehingga 10 tahun dari tarikh sabitan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Ahmad Sazali Omar, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Wan Nurul Nurain Wan M Razali.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 oleh seorang penjamin, selain menetapkan 27 Januari depan tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, kemalangan itu menyebabkan kematian Abdul Rahim Mohamad, 53, manakala tiga lagi anaknya berusia 11, 13 dan 20 tahun cedera parah termasuk pendarahan di kepala.

Berita Harian X