Isnin, 27 Disember 2021 | 3:06pm
Mangsa kemalangan di Jalan Kampung Malampoi, Batu 48, berhampiran Ladang Sawit FELCRA Nabawan, hari ini. - Foto ihsan JBPM
Mangsa kemalangan di Jalan Kampung Malampoi, Batu 48, berhampiran Ladang Sawit FELCRA Nabawan, hari ini. - Foto ihsan JBPM

Lelaki maut dihempap kenderaan dipandu sendiri

KENINGAU: Seorang lelaki maut apabila kenderaan dipandunya terbabas di Jalan Kampung Malampoi, Batu 48, berhampiran Ladang Sawit FELCRA Nabawan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, Putera Azzalie Sulayul, 25, yang memandu Proton Wira Aeroback, dilaporkan tercampak keluar sebelum dihempap kenderaan itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 7.39 pagi.

Susulan itu, katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.

"Setiba di lokasi, pasukan mendapati mangsa tersepit di bahagian luar kenderaan itu, dan menjalankan operasi mengeluarkan mangsa.

"Sebaik saja berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir di sekitar lokasi bagi memastikan tiada keberbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.28 pagi.

Berita Harian X