KUALA LUMPUR: Tiada kesan rekahan baharu pada dinding dan lantai blok asrama lelaki di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, di sini, selepas dilaporkan berlaku mendapan jalan serta tanah runtuh di kawasan berhampiran, malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata ia hasil tinjauan serta pemantauan anggotanya bersama pihak UIAM dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) pada jam 9 pagi tadi.
"Malam tadi, 128 pelajar diarahkan mengosongkan asrama itu kerana kejadian berkenaan. Berdasarkan pemantauan, tiada rekahan baharu pada blok itu.
"Namun, kita nasihatkan mereka untuk tidak berada di kawasan berkenaan sementara waktu ini. Kajian lanjut akan dibuat pihak berkuasa berkaitan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang digerakkan ke lokasi itu sejurus menerima laporan kejadian pada jam 9 malam untuk melakukan pemantauan.
Keterangan saksi mengatakan kejadian tanah runtuh itu berlaku kira-kira jam 6.45 petang semalam ketika hujan lebat.