Ahad, 26 Disember 2021 | 6:48pm
Saiful Nizam Ab Wahab menerusi ciapan di Twitternya.
Saiful Nizam Ab Wahab menerusi ciapan di Twitternya.

Ain Huzniza lapor polis terima komen lucah

KUALA LUMPUR: Pelajar, Nurain Husniza Saiful Nizam membuat laporan polis berhubung komen lucah dan mengaibkan yang dilontarkan terhadapnya menerusi media sosial, semalam.

Bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab, menerusi ciapan di Twitter, malam kelmarin berkata beliau dan Nurain Husniza membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang terhadap seorang individu yang dikenal pasti melakukan perbuatan itu.

"Sudah jam 3 pagi, sekarang kami di IPD Kajang. Betapa saya kasihan pada Ain Husniza yang terpaksa mengharungi semua ini demi perjuangan untuk #MakeSchoolASaferPlace.

"Pelaku sudah diketahui dan mengakui perbuatannya, ibu bapanya juga telah dimaklumkan mengenai kes ini. Walaupun begitu, laporan polis akan diteruskan," katanya.

Katanya, laporan polis itu dibuat selepas dinasihatkan oleh peguamnya dan mahu ia menjadi iktibar kepada semua pihak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, mengesahkan menerima satu laporan polis berhubung perkara itu pada jam 1.59 pagi, semalam.

"Pengadu adalah seorang pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun yang mana rakannya memaklumkan gambar 'selfie' (swafoto) mukanya disalah guna dalam laman web 'Tumblr' dengan kata-kata berunsur lucah dan mengaibkan, melalui akaun Instagram pengadu.

"Pengadu mengetahui perbuatan itu telah dilakukan oleh rakan pengadu yang juga bekas pelajar sekolah lamanya dan gambar pengadu kemudian telah dipadam oleh suspek selepas pengadu menghubunginya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Zaid, suspek akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan kenyataan atau paparan yang boleh mengaibkan diri seseorang menerusi medium media sosial kerana ia boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil ke atas pelaku.

Berita Harian X