Ahad, 26 Disember 2021 | 5:30pm
Kereta Perodua Myvi yang dinaiki empat sekeluarga remuk selepas terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jalan Sungai Korok menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki maut. NSTP/Ihsan PDRM
Kereta Perodua Myvi yang dinaiki empat sekeluarga remuk selepas terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jalan Sungai Korok menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki maut. NSTP/Ihsan PDRM

Budak lelaki 4 tahun maut kereta terjunam sungai

JITRA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia di Hospital Jitra (HJ) selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki bersama keluarganya terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jalan Sungai Korok, di sini, hari ini.

Dalam nahas jam 11.15 pagi itu, mangsa, Haraz Safiy Haniz, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di HJ manakala adiknya, Syafin Haadif, 2, menerima rawatan di Zon Merah hospital berkenaan.

Bapa mangsa, Haniz Mohamad, 35, dari Kampung Sungai Kechik, Kuala Nerang, hanya luka ringan manakala isterinya, Nurul Syahira Zamri, 34, luka pada dahi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan sebuah kereta yang disyaki terbabas sendiri dan jatuh ke dalam sungai berkenaan pada jam 11.29 pagi.

Beliau berkata, siasatan di lokasi mendapati kenderaan yang terbabit masih berada di situ manakala semua mangsa sudah dikeluarkan dari Perodua Myvi itu.

"Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta yang dinaiki kesemua mangsa dari arah pekan Jitra menghala ke Air Hitam.

"Namun setiba di Jalan Sungai Korok, pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke kanan jalan dan terlanggar papan tanda di bahu kanan jalan sebelum terjatuh ke dalam sungai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rodzi berkata, semua mangsa yang berada di dalam kenderaan dikeluarkan oleh pemandu kereta itu.

Beliau berkata, semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan.

"Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 12.20 tengah hari ketika menerima rawatan di hospital.

"Mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X