Ahad, 26 Disember 2021 | 3:27pm

4 pegawai kastam dipenjara 2 tahun kes rasuah RM22,000

ALOR SETAR: Empat pegawai kastam dihukum penjara masing-masing dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan menerima rasuah RM22,000 daripada seorang peniaga kedai runcit pada 2019.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Kamaruzaman Hashim, 41; Mohamad Fadzil Voon Fandi Voon, 34; Saiful Azhar Ismail, 35; dan Muhamad Izrul Ismail, 30, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Semua tertuduh didakwa dengan niat bersama telah menerima wang tunai RM22,000 daripada seorang peniaga kedai runcit berusia 69 tahun yang didapati menyimpan rokok dan mercun belum lulus kastam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Namek Tua, Sik, kira-kira jam 6.30 petang 21 Mei 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 137(1)(b) Akta Kastam 1967 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 137(1) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi satu lagi pertuduhan berasingan, Kamaruzaman dihukum penjara 24 bulan selepas didapati bersalah menerima rasuah sebanyak RM3,000 daripada menantu peniaga terbabit.

Ia didakwa sebagai ganjaran kerana tidak menangkap atau mengambil tindakan terhadap bapa mentuanya yang menyimpan rokok dan mercun belum lulus kastam.

Kamaruzaman dituduh melakukan kesalahan itu melalui transaksi dalam talian di alamat dan hari sama pada jam 6.49 petang.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 137(1)(b) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum bawah Seksyen 137(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Hakim memerintahkan kedua-dua hukuman penjara ke atas Kamaruzaman berjalan serentak, mulai hari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Khairul Nizam Abu Bakar, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Rosman Azwan Osman.

Bagaimanapun, Rosman Azwan memohon mahkamah memberi penangguhan hukuman kepada semua anak guamnya sementara menunggu kes dikemukakan ke Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, ini kerana keempat-empat tertuduh sudah digantung kerja dan pada masa sama, menanggung isteri serta anak masih kecil, selain bergelut dengan pandemik COVID-19.

Hakim kemudian membenarkan penangguhan hukuman dan mengenakan ikat jamin tambahan RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin, selepas jaminan RM2,000 dikenakan sebelum ini.

Mereka juga perlu melaporkan diri di pejabat kastam berdekatan, setiap bulan.

Difahamkan, mereka membayar wang jaminan itu di Kompleks Mahkamah Alor Setar, hari ini.

Empat pegawai kastam dihukum penjara masing-masing dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di Alor Setar, hari ini. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Empat pegawai kastam dihukum penjara masing-masing dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di Alor Setar, hari ini. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Berita Harian X