BATU KURAU: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemui lemas ketika mandi di di Lata Air Hitam, Jelai, di sini, tengah hari tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 12.17 tengah hari dan mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kurau ke lokasi.
Menurutnya, mayat mangsa dikenal pasti sebagai Mohammad Fathussalam Mohd Baharulnizam, dijumpai orang awam, kira-kira dua meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.
"Mangsa dijumpai oleh orang awam pada jam 12.49 tengah hari dan disahkan telah meninggal dunia oleh petugas kesihatan. Jenazah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Taiping untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.