Sabtu, 25 Disember 2021 | 3:08pm

14 pemandu mabuk ditahan di KL

KUALA LUMPUR: Polis menahan 14 lelaki kerana disyaki memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol, di sekitar ibu negara pada sebelah malam hingga awal pagi tadi.

Suspek berusia 19 hingga 52 tahun itu ditahan menerusi Op Samseng Jalanan, Mabuk dan Motosikal sempena Krismas di sekitar pusat bandar, Jalan Kuching, Jalan Genting Kelang, Jalan Raja Chulan, Jalan Duta Kiara serta Jalan Maarof bermula jam 8.30 malam hingga jam 4 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata turut ditahan, lima lelaki kerana menunggang motosikal secara berbahaya sambil melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing sesama sendiri.

"Mereka yang berusia 19 hingga 31 tahun bersama 14 suspek yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur mengikut Seksyen 42(1) dan 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Selain itu, kita tahan seorang lelaki berusia 21 tahun yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi motosikal. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod curi motosikal sejak 2015," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sarifudin berkata, secara keseluruhan sebanyak 252 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 24 motosikal disita mengikut Seksyen 64 APJ 1987 kerana mengubah suai ekzos kenderaan.

Katanya, motosikal berkenaan akan diambil tindakan dan diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum diarahkan mengubah kenderaan ke struktur asal.

"JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan Operasi Ambang Tahun Baru 2022 bagi membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta pemandu mabuk demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

"Orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat berkaitan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999, Hotline JSPT Kuala Lumpur (03-20260267/69) atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Berita Harian X