Jumaat, 24 Disember 2021 | 8:32pm
Dua wanita maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Jalan Paya Besar, Kulim hari ini. - Foto PDRM
Dua wanita maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Jalan Paya Besar, Kulim hari ini. - Foto PDRM

2 wanita maut nahas motosikal

KULIM: Dua wanita maut selepas motosikal yang mereka tunggang terbabit kemalangan di Jalan Paya Besar, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, Nor Syamimi Amira Mohd Suhaimi dan Nur Aleesya Md Anuar meninggal dunia di lokasi kejadian.

Nor Syamimi Amira menunggang skuter Honda Beat manakala Nur Aleesya menunggang Yamaha 15ZR dan kedua-dua mangsa yang berusia 20 tahun masing-masing berasal dari Taman Beringin serta Padang Serai.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam, berkata siasatan mendapati penunggang skuter dalam perjalanan dari Taman Sederi manakala seorang lagi dari Kulim menghala ke Padang Serai.

"Sebaik tiba di tempat kejadian penunggang skuter bergerak keluar dari simpang Taman Sederi dan masuk ke laluan utama. Akibat jarak terlalu dekat, seorang lagi penunggang motosikal tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian kanan skuter berkenaan," katanya dalam kenyataan.

Kemalangan menyebabkan kedua-dua mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Penunggang skuter yang belum bekerja didapati tiada lesen memandu manakala seorang lagi mangsa bekerja sebagai operator kilang mempunyai lesen memandu," katanya.

Berita Harian X