Jumaat, 24 Disember 2021 | 6:36pm
Orang ramai memenuhi pinggir Sungai Kampung Pengkalan Teluk, Gual Periok, ketika operasi mencari remaja perempuan lemas. - Foto ihsan JBPM Pasir Mas
Orang ramai memenuhi pinggir Sungai Kampung Pengkalan Teluk, Gual Periok, ketika operasi mencari remaja perempuan lemas. - Foto ihsan JBPM Pasir Mas

'Selamatkan anak lelaki, anak perempuan pula lemas'

PASIR MAS: "Saya selamatkan anak lelaki daripada lemas, tidak sangka ada seorang lagi anak perempuan sudah dibawa arus dan meninggalkan saya buat selama-lamanya," luah Mohd Rosli Abdullah.

Mohd Rosli, 40, menceritakan detik cemas apabila kehilangan anak perempuannya, Siti Alia Nasuha, 13, selepas dipercayai bermain air di pinggir sungai Kampung Pengkalan Teluk, Gual Periok, di sini.

Katanya, kejadian berlaku terlalu cepat kerana dia turut berada di lokasi kejadian sebelum mendengar jeritan anak lelaki, Mohd Akid Akmal, 11, dan terus terjun ke sungai menyelamatkanya selain turut dibantu orang awam yang kebetulan ada di lokasi.

"Bagaimanapun, belum habis ketakutan kehilangan anak lelaki, saya baru menyedari anak perempuan turut hilang dibawa arus. Saya kaku kelemahan bagaikan tidak percaya dan hanya mampu menjerit meminta tolong orang yang ada di lokasi untuk membantu mencari Siti Alia.

"Namun, air terlalu deras dan saya hanya menunggu bantuan daripada pihak bomba untuk mencari Siti Alia. Tak dapat saya gambarkan perasaan sepanjang operasi mencarinya dan tidak berhenti berdoa anak saya selamat walaupun sedar peluang agak tipis.

"Sebaik jasad anak perempuan saya ditemui, saya hanya mampu menitiskan air mata namun dalam masa yang sama cuba untuk reda dengan ketentuan Allah," katanya di sini, hari ini.

Mohd Rosli berkata, tiada perubahan ketara kepada anak ketiga daripada enam adik beradik itu, tetapi dia bagaikan tidak sabar menunggu saya membawanya ke sungai untuk bersiar-siar dan minta bermain air di pinggir sungai, hari ini.

"Sebelum ini, hampir setiap hari saya membawanya bersiar-siar di sungai, namun hari ini dia meminta untuk bermain air. Saya benarkan mereka berdua bermain air dengan pengawasan saya sendiri, tetapi perkara sebegini tetap berlaku hanya dengan sekelip mata sahaja.

"Saya reda dengan pemergian anak yang sangat baik dan rajin dalam keluarga. Pasti kami merindui telatah serta gelagatnya yang sentiasa menceriakan adik beradik yang lain.

"InsyaAllah selesai sahaja prosedur di hospital, anak saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jejawi, di sini," katanya.

Siti Alia adalah seorang daripada dua mangsa lemas di Kelantan yang berlaku di jajahan Pasir Mas, hari ini, yang disahkan pihak polis Kelantan.

Berita Harian X