Jumaat, 24 Disember 2021 | 12:40pm
KEADAAN motosikal mangsa yang remuk bertembung dengan kereta di Kilometer 219.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, malam tadi - Foto NSTP/Ihsan PDRM
KEADAAN motosikal mangsa yang remuk bertembung dengan kereta di Kilometer 219.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, malam tadi - Foto NSTP/Ihsan PDRM

Tunggang motosikal lawan arus bertembung kereta

ALOR GAJAH: Seorang penunggang motosikal yang dipercayai menunggang secara melawan arus di Kilometer 219.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta, malam tadi.

Dalam kejadian, kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, T Ruthinthiran, 33, disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan itu membabitkan dua buah kereta dan sebuah motosikal.

Beliau berkata, sebelum kejadian kereta dipandu wanita berusia 38 tahun dan lelaki berumur 26 tahun dalam perjalanan dari arah Seremban ke Ayer Keroh manakala mangsa dari Simpang Ampat ke Seremban.

"Siasatan awal mendapati kereta dipandu wanita yang berada di lorong kanan bertembung dengan motosikal mangsa yang dipercayai melawan arus.

"Akibat perlanggaran itu penunggang tercampak ke tengah jalan manakala sebuah BMW dipandu wanita berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kiri manakala Perodua Myvi kebetulan melalui lokasi kejadian tidak sempat mengelak dan melanggar belakang kereta wanita itu," katanya.

"Selain itu, pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian," katanya.

Menurut Arshad, kesemua kenderaan yang terbabit kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

"Selain itu mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Berita Harian X