Khamis, 23 Disember 2021 | 11:03am

Pencuri tukar tabung masjid guna mangga sendiri ditahan

PASIR MAS: Helah seorang lelaki yang menukar mangga tabung masjid terbongkar selepas ditahan ketika membuka tabung masjid menggunakan kuncinya sendiri, di Masjid Kubang Bemban, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata suspek berusia 29 tahun beberapa kali mencuri wang dalam tabung masjid itu dan modus operandinya dengan cara menukarkan mangga tabung masjid.

Katanya, berdasarkan laporan diterima ahli jawatankuasa masjid menunggu kedatangan suspek yang sebelum ini dilihat mencuri wang tabung melalui kamera litar tertutup (CCTV) sejak beberapa hari lalu.

"Dalam kejadian itu suspek datang ke masjid jam 2.30 petang menggunakan basikal elektrik melalui pintu pagar yang tidak berkunci dan terus memasuki masjid dan membuka mangga tabung masjid menggunakan kuncinya.

"Semasa kejadian petang semalam, seorang pekerja membaiki lantai masjid menyedari kejadian itu dan menelefon anggota RELA yang juga ahli jawatankuasa masjid berkenaan, sebelum bersama-sama menahan suspek di ruang solat wanita," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika disoal siasat suspek mengaku mencuri wang tabung masjid sebelum ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan 511 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X