Rabu, 22 Disember 2021 | 8:11pm
Mangsa ditemui maut di kebun getah di Kampung Air Sejuk, petang tadi. - Foto ihsan pembaca
Mangsa ditemui maut di kebun getah di Kampung Air Sejuk, petang tadi. - Foto ihsan pembaca

Wanita ditemui maut di kebun getah

TANAH MERAH: Seorang wanita ditemui maut dipercayai ditimpa batang pokok getah yang reput di Kampung Air Sejuk, Kelewek, di sini, hari ini.

Insiden berlaku kira-kira jam 3.30 petang tadi ketika mangsa yang juga warga Thailand, Anisa Latif, 36, dikatakan sedang menoreh getah seorang diri di kebun milik penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf, berkata mayat Anisa dikatakan ditemui suaminya yang keluar mencari mangsa selepas menyedari wanita itu masih belum pulang ke rumah mereka.

"Suami mangsa dikatakan menjumpai wanita itu dalam keadaan terbaring serta tidak sedarkan diri, dengan terdapat darah keluar dari mulut dan hidungnya.

"Lelaki itu kemudian menghubungi pihak hospital dan hasil pemeriksaan dilakukan di tempat kejadian mendapati mangsa sudah meninggal dunia," kepada kepada BH.

Zainuddin berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian juga menemui sebatang pohon getah sudah reput yang dipercayai menimpa mangsa.

Beliau berkata, polis tidak menjumpai sebarang unsur jenayah berlaku dalam insiden itu, setakat ini, dan mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Berita Harian X