Rabu, 22 Disember 2021 | 5:46pm
Yew Chen dihadapkan ke mahkamah di Ipoh, hari ini. -NSTP/BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Yew Chen dihadapkan ke mahkamah di Ipoh, hari ini. -NSTP/BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Lelaki didakwa miliki senjata, buku ideologi komunis

IPOH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan memiliki senjata api tiruan, gari dan baju kalis peluru, serta buku larangan berunsur ideologi komunis.

Tertuduh, Leong Yew Chen, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki lapan laras senapang tiruan dan empat pucuk pistol tiruan.

Bagi pertuduhan berikutnya, tertuduh didakwa memiliki sepasang gari dan tiga helai baju kalis peluru tanpa kebenaran yang sah.

Seterusnya, tertuduh didakwa memiliki buku cetakan hasil penerbitan larangan yang berunsurkan ideologi komunis.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang boleh didenda tidak lebih RM5,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membawa dan memiliki senjata besi buku lima serta memiliki peluru hidup tanpa lesen sah, sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membawa dan memiliki senjata yang dijadualkan, iaitu dua buah besi buku lima.

Bagi satu lagi pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dua butir peluru hidup tanpa lesen senjata yang sah.

Susulan itu, Yew Chen didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Api 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Yew Chen didakwa melakukan kesalahan pada masa, lokasi dan tarikh yang sama di Jalan Margosa, Pasir Puteh, pada jam 1.45 tengah hari 10 Disember lalu.

Pendakwaan bagi kesemua pertuduhan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi, Nor Syahirah Azahar dan Fatimah Hannah Abd Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam, Amrick Singh Sandu.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan psikiatri tertuduh membuat pemeriksaan di Hospital Bahagia Ulu Kinta berikutan tertuduh memiliki sejarah penyakit kesihatan mental.

Selain itu, mahkamah turut tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh berikutan kes membabitkan akta senjata.

Berita Harian X