Rabu, 22 Disember 2021 | 5:37pm
Abd Hamim Ab Hamid atau lebih dikenali sebagai Long Tiger kini menjadi buruan polis. - Foto ihsan polis
Abd Hamim Ab Hamid atau lebih dikenali sebagai Long Tiger kini menjadi buruan polis. - Foto ihsan polis

Peguam Long Tiger tarik diri

JOHOR: Peguam mewakili Abd Hamim Ab Hamid atau lebih dikenali sebagai 'Long Tiger' yang kini menjadi buruan polis, menarik diri daripada mewakili lelaki itu.

Datuk Shaharudin Ali, berkata beliau yang juga Peguambela dan Peguamcara bagi Shaharudinali Azfarazmi & Co, sebelum ini dilantik mewakili Ab Hamim dalam beberapa kes jenayah dan sivil lelaki itu yang sedang berjalan.

Beliau berkata, setakat ini lelaki etnik Rohingya itu masih belum dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

"Kami dengan berat hati terpaksa menarik diri sebagai peguambela beliau (Ab Hamim) dalam kes-kes yang berkenaan kerana mengalami masalah mendapatkan arahan seterusnya daripada anak guam bagi maksud perjalanan kes yang membabitkan beliau.

"Sebagai peguambela, kami juga merasai Ab Hamim sudah melarikan diri ketika perjalanan prosiding kes beliau dan ini mencerminkan beliau tiada keyakinan dengan khidmat guaman oleh pihak kami, selain tiada keyakinan dengan prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.

"Namun, Ab Hamim mungkin mempunyai sebab tertentu mengapa mengambil tindakan sedemikian dan beliau tetap tidak bersalah kecuali selepas disabitkan oleh mahkamah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, media melaporkan orang ramai diminta tampil membantu polis bagi mengesan Abd Hamim, 33, selepas meloloskan diri daripada lokap Mahkamah Majistret Tangkak, di sini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat, dilaporkan berkata, polis kini melancarkan Ops Tutup di sekitar daerah itu dalam usaha mengesan suspek yang melarikan diri dalam keadaan tangan bergari.

Dalam kejadian itu, suspek memakai baju-t, berseluar panjang coklat serta memakai selipar melarikan diri daripada lokap dengan keadaan tangan bergari, kira-kira jam 11.55 pagi pada Rabu minggu lalu.

Berita Harian X