Rabu, 22 Disember 2021 | 1:40pm

2 disiasat seleweng RM48,000 masuk akaun sendiri

SUNGAI PETANI: Bekas penolong pengurus wilayah dan bekas pengurus cawangan sebuah agensi ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang berjumlah RM48,000 membabitkan jualan tandan kelapa sawit hampir empat tahun lalu.

Kedua-dua mereka yang berusia 61 dan 35 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara 2017 sehingga 2018 lalu.

Dua individu berkenaan kini tidak lagi berkhidmat di agensi terbabit dengan bekas penolong pengurus didapati sudah bersara, manakala seorang lagi diberhentikan.

Difahamkan, mereka disiasat selepas dipercayai menyalahgunakan kuasa apabila tidak memasukkan bayaran pembelian tandan kelapa sawit ke akaun syarikat, sebaliknya ke akaun peribadi.

Terdahulu, kedua-dua individu berkenaan tiba di Mahkamah Majistret, di sini pada jam 10 pagi dengan dikawal pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Kedah.

Mereka kemudian dibawa keluar daripada kompleks mahkamah kira-kira 15 minit kemudian selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Nadhirah Abdul Rahim.

Mereka ditahan pada jam 3 petang semalam di Pejabat SPRM negeri selepas hadir memberi keterangan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua individu terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Dua bekas pegawai sebuah agensi dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini untuk perintah tahanan reman. Foto NSTP/Izad Thaqif Hassan
Dua bekas pegawai sebuah agensi dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini untuk perintah tahanan reman. Foto NSTP/Izad Thaqif Hassan
Berita Harian X