Rabu, 22 Disember 2021 | 12:11pm

Buruh ditahan disyaki miliki pil kuda bernilai RM100,000

PASIR MAS: Polis menahan seorang buruh lelaki selepas dipercayai memiliki 10,000 biji pil kuda bernilai RM100,000 di Kampung Bayu Lalang, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata suspek berusia 32 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah, pada jam 11.30 malam.

Katanya, dalam serbuan itu, anggota menemui beg berwarna hitam dan baju hujan yang digunakan untuk menyembunyikan kesemua pil kuda di bahagian dapur rumah.

"Suspek kemudian ditahan untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah Methamphetamine.

"Semakan juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

"Hasil siasatan, suspek mengaku bertindak sebagai pengedar dadah dan mendapat upah daripada individu digelar sebagai Din," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, suspek menerima upah sebanyak RM1,000 seminggu dengan mengedar dua kali seminggu di sekitar kawasan di jajahan Pasir Mas.

"Susulan tangkapan berkenaan, kami terus membuat serbuan ke Kampung Tujuh Pengkalan Kunor, Tumpat, pada jam 3.10 awal pagi tadi.

"Hasil serbuan ini, kami menahan seorang peniaga berusia 35 tahun, disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah bersama suspek pertama," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Berita Harian X