Isnin, 20 Disember 2021 | 3:03pm

Limpahan Sungai Golok mudahkan kegiatan penyeludupan

RANTAU PANJANG: Limpahan air Sungai Golok di sepanjang musim tengkujuh tidak menjadi penghalang kepada kumpulan penyeludup membawa keluar dan masuk barangan secara haram melalui sungai berkenaan.

Malah, keadaan itu memudahkan mereka menyeberangi sungai dengan hanya menarik tali atau mendayung sampan ketika menyedari ketiadaan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) sudah 'dapat membaca' taktik terbabit, sekali gus berjaya menghalang beberapa kes membabitkan aktiviti penyeludupan walaupun ketika musim bah.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata buktinya, hanya dalam masa empat hari, pihaknya sudah menumpaskan 17 kes membabitkan nilai RM889,000 yang mana ada antara rampasan dilakukan ketika dalam banjir.

"Penyeludup juga didapati mengubah modus operandi dengan menetapkan lokasi transit sebelum barangan dibawa terus menggunakan bot atau sampan. Apabila air mula melimpah mereka tidak perlu lagi membawa barangan melalui pangkalan haram sebaliknya di tepian jalan yang mula digenangi air.

"Oleh itu, anggota PGA7 perlu lebih ligat membuat rondaan di kawasan banjir dengan menggunakan kenderaan bersesuaian termasuk bot untuk memantau di sepanjang sungai secara berkala selama 24 jam sehari," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat beberapa pos PGA di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Rantau Panjang yang turut tenggelam akibat banjir.

Azhari berkata, empat daripada 17 pos kawalan ditenggelami air separas 1.8 meter sehingga 2.5 meter susulan banjir yang berlaku membabitkan Pos Ibrahim Pencen, Pos Pok Teh Kana, Pos Terusan dan Pos Kaloi.

"Seramai 31 anggota dan pegawai diarahkan berpindah ke tempat selamat bagi memudahkan penugasan selain menjaga keselamatan anggota daripada berlaku insiden yang tidak diingini.

"Walaupun berdepan cabaran bencana banjir, 400 pegawai dan anggota PGA7 tetap komited menjalankan tugas menjaga sempadan Malaysia-Thailand daripada berlaku ketirisan jenayah rentas sempadan.

"Setiap anggota sudah dimaklumkan bakal bertugas dalam suasana banjir agar mereka dapat bersedia daripada segi fizikal dan mental," katanya yang memaklumkan PGA7 mengambil alih tugas Ops Benteng COVID-19 bermula 16 Disember hingga 16 Januari 2022.

Dua anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) membuat tinjauan Pos Kawalan PGA Pos Ibrahim Pencen yang tenggelam akibat banjir di Rantau Panjang susulan air Sungai Golok meningkat. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Dua anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) membuat tinjauan Pos Kawalan PGA Pos Ibrahim Pencen yang tenggelam akibat banjir di Rantau Panjang susulan air Sungai Golok meningkat. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X