Isnin, 20 Disember 2021 | 12:10pm

Tukang rumah maut jatuh bumbung

TANAH MERAH: Seorang tukang rumah maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah rumah di Kampung Kuala Kepok, di sini, petang semalam, ketika melakukan kerja pembaikan.

Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, mangsa, Mhd Azli Ag Hassan, 37, meninggal dunia berikutan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf, berkata sebelum kejadian, mangsa sedang memasang zink di rumah pengadu.

"Ketika membetulkan kepingan zink terakhir di hujung bumbung, mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh pada ketinggian kira-kira 3.5 meter.

"Pemilik rumah yang berada di lokasi kejadian menghampiri mangsa dan mendapati lelaki itu sudah tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zainuddin berkata, pengadu segera menghubungi ambulans dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan.

Mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Berita Harian X