Isnin, 20 Disember 2021 | 8:46am
Empat rumah rosak dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, awal pagi tadi. - Foto Bomba
Empat rumah rosak dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, awal pagi tadi. - Foto Bomba

Tanah runtuh di Sungai Penchala, empat rumah rosak

KUALA LUMPUR: Empat rumah rosak dan seorang wanita warga emas cedera selepas berlaku tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala di sini, awal pagi tadi.

Bomba yang menerima laporan kejadian pada jam 1.22 pagi, menggerakkan 15 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Dr Ismail dan BBP Sri Hartamas ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

Operasi turut disertai lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), 11 anggota polis serta tiga petugas Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Komander Operasi Kanan, Penguasa Kanan Bomba 1 Khairul Azuwan Ibrahim, berkata sebaik pasukan bomba tiba di tempat kejadian mendapati empat kediaman di situ rosak akibat dihempap tanah runtuhan.

"Kita turut menemui seorang wanita warga emas berusia lingkungan 70-an dalam keadaan tubuhnya tertimbus sehingga ke paras pinggang.

Anggota bomba menyelamatkan seorang wanita warga emas yang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, awal pagi tadi. - Foto Bomba
Anggota bomba menyelamatkan seorang wanita warga emas yang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, awal pagi tadi. - Foto Bomba

"Mangsa berjaya diselamatkan dan mengalami kecederaan di bahagian kaki seterusnya dihantar ke PPUM menggunakan kenderaan EMRS bomba untuk rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Khairul Azuwan, pasukan bomba kemudian memeriksa kawasan sekitar lokasi kejadian dalam memastikan tiada lagi sebarang keberbahayaan dan tempat berkenaan turut ditutup atas faktor keselamatan.

Berita Harian X