Ahad, 19 Disember 2021 | 10:21pm
Anggota bomba menemui pemandu lori yang cuba menyelamatkan diri selepas kenderaannya dinaiki air petang tadi. - Foto BOMBA
Anggota bomba menemui pemandu lori yang cuba menyelamatkan diri selepas kenderaannya dinaiki air petang tadi. - Foto BOMBA

Pemandu lori lemas

KUALA SELANGOR: Seorang pemandu lori yang cuba menyelamatkan diri selepas kenderaannya dinaiki air di Desa Coalfields, di sini, ditemukan lemas, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pasukan lapan pegawai dan anggota dua jentera serta sebuah bot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang dan BBP Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 4.50 pagi.

"Seorang lelaki dipercayai lemas dalam usaha menyelamatkan diri dari dalam lori yang dinaiki air secara tiba-tiba.

"Kita kemudian melakukan operasi pencarian di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa ditemui meninggal dunia pada 5.10 petang tadi, kira-kira lima meter dari tempat dia dilaporkan tenggelam.

"Pada waktu itu, paras air di tempat kejadian setinggi kira-kira 1.2 meter. Laluan di kawasan itu juga dilanda banjir dan hampir menenggelamkan lori terbabit.

"Mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan sudah meninggal dunia," katanya.

Menurut Norazam, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis pada 5.30 petang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

"Siasatan mendapati mangsa tidak terlibat kemalangan, sebaliknya disahkan meninggal dunia akibat lemas.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Berita Harian X