Ahad, 19 Disember 2021 | 7:59pm

Pengunjung, pengusaha premis dikompaun RM67,000

KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM67,000 terhadap pengunjung dan pengusaha premis pusat hiburan di Jalan Dutamas, Sentul, di sini, kelmarin kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam serbuan pada jam 11 malam, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul mengenakan kompaun RM1,000 terhadap setiap individu itu kerana gagal mengamalkan penjarakan fizikal.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata tindakan kompaun mengikut Peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (Pindaan) 2021.

"Hasil ujian saringan awal air kencing pula mendapati sembilan individu positif dadah Tetrahydrocannabinol (THC).

"Mereka direman tiga hari sehingga esok mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap individu menyalahgunakan dadah serta melanggar SOP PPN bagi membendung penularan COVID-19.

Berita Harian X