Ahad, 19 Disember 2021 | 5:21pm
Seorang warga emas yang terperangkap dalam kediamannya akibat tanah runtuh diselamatkan bomba - Foto NSTP/Ihsan PDRM
Seorang warga emas yang terperangkap dalam kediamannya akibat tanah runtuh diselamatkan bomba - Foto NSTP/Ihsan PDRM

Warga emas terperangkap tanah runtuh

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas berdepan detik cemas selepas terkurung di dalam rumah akibat tanah runtuh di Jalan Palinbayan Sungai Penchala, di sini, sebelum diselamatkan bomba malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.40 tengah malam sebelum anggota polis bertugas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas tempat kejadian mendapati seorang lelaki terkurung di dalam salah sebuah rumah yang terbabit dengan tanah runtuh dan diselamatkan oleh anggota bomba.

"Mangsa cedera ringan dan jumlah mangsa yang terbabit tidak dapat dipastikan.

"Kesemua mangsa sudah berpindah ke rumah saudara mara dan rakan sekitar Sungai Penchala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata, orang ramai yang ada maklumat mengenai tanah runtuh diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Berita Harian X