Ahad, 19 Disember 2021 | 1:15pm
Mangsa yang memandu Proton Saga dipercayai tersepit di tempat duduk pemandu ketika terbabit nahas di Jalan Sook-Nabawan, Keningau, hari ini. - Foto Bomba
Mangsa yang memandu Proton Saga dipercayai tersepit di tempat duduk pemandu ketika terbabit nahas di Jalan Sook-Nabawan, Keningau, hari ini. - Foto Bomba

Warga emas maut terperangkap dalam kereta terbakar

KENINGAU: Seorang lelaki warga emas rentung selepas kenderaannya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda sebelum terbakar di Jalan Sook-Nabawan, di sini, hari ini.

Dalam nahas kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Wahab Marjuki, 61, dipercayai terperangkap selepas tersepit di dalam kereta Proton Saga yang dipandunya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 10.31 pagi.

"Setiba di lokasi kejadian, kebakaran didapati sudah dipadam oleh orang awam sebelum ketibaan jentera Bomba.

"Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui seorang mangsa lelaki rentung di dalam kenderaan Proton Saga berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jurucakap itu berkata, mangsa kemudian dikeluarkan oleh pasukan operasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemandu kenderaan Isuzu DMax yang turut cedera sudah dihantar oleh orang awam ke hospital.

"Operasi terkawal pada jam 11.20 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.29 pagi," katanya.

Berita Harian X