Ahad, 19 Disember 2021 | 12:47pm

2 kakitangan JKR tidak mengaku salah terima rasuah

JOHOR BAHRU: Dua kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Mersing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan rasuah keseluruhan berjumlah RM14,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Idham Mokhtar, 38, dan Mohd Sukrizal Mohd Shukor, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, jurutera, Mohd Idham didakwa menerima untuk diri sendiri suatu benda yang berharga iaitu wang berjumlah RM9,000 dengan tiada balasan daripada seorang individu berusia 44 tahun melalui akaun bank milik syarikat individu berkenaan.

Kesalahan dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Ismail, Mersing pada 19 November 2019.

Tertuduh kedua iaitu Penolong Juru Ukur Bahan, Mohd Sukrizal, didakwa menerima untuk diri sendiri suatu benda yang berharga iaitu wang berjumlah RM5,000 dengan tiada balasan daripada individu sama melalui akaun bank milik syarikat individu berkenaan.

Tertuduh mengetahui ada hubungan dengan tugas rasminya sebagai Urusetia Jawatankuasa bagi kerja pembaikan apron lantai bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Lembaga Endau, selain kerja pembaikan dinding dan lantai akibat mendapan di Sekolah Mengah Kebangsaan (SMK) Anjung Batu.

Kerja-kerja turut meliputi pembaikan bumbung dan siling bagi empat blok bangunan di SMK Ungku Hussin selain kerja pembaikan bumbung serta kerja berkaitan di SK Triang Mersing.

Kesalahan dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Pusat Perdagangan, Jalan Bandar, Pasir Gudang, pada 28 Disember 2019.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suhaili Sapun dengan kedua-dua tertuduh diwakili peguam iaitu Rosli Kamaruddin, Zahir Rosli dan Zaim Rosli.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh masing-masing dijamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Januari tahun depan.

Tertuduh, Mohd Idham Mokhtar (kiri) dan Mohd Sukrizal Mohd Shukor (kanan) tidak mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.- Foto NSTP/Nurul Amanina Suhaini
Tertuduh, Mohd Idham Mokhtar (kiri) dan Mohd Sukrizal Mohd Shukor (kanan) tidak mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.- Foto NSTP/Nurul Amanina Suhaini
Berita Harian X