Jumaat, 17 Disember 2021 | 9:04pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Polis rampas lebih 4.5 kilogram bunga ganja

KUALA LUMPUR: Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1 juta selepas menahan enam individu termasuk seorang wanita, dalam serbuan di Brickfields, Shah Alam serta Bandar Baru Seri Petaling di sini, pada Selasa dan Rabu lalu.

Menerusi Ops Nekkar dan Carmill, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kuala Lumpur menahan suspek berusia antara 22 hingga 37 tahun.

Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif, berkata hasil serbuan pihaknya merampas bud ganja (bunga) seberat 4.55 kilogram (kg) bernilai RM445,520, daun kering dipercayai ganja (0.72 kg), tujuh biji benih ganja (0.67 gram) dan lapan pokok ganja.

Beliau berkata, turut dirampas serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 8.9 kg bernilai RM446,600, 558 botol cecair MDMA dengan harga RM150 sebotol, ketamin (63 gram), 190 pil ekstasi dan 120 pil Erimin 5.

Katanya, sebuah kereta Mercedes Benz C180 Sport dan sebuah motosikal KTM 390 DUKE dengan nilai keseluruhan RM95,000 pula disita bagi membantu siasatan.

"Pada jam 10 pagi Selasa lalu, kita serbu kawasan parkir sebuah residensi di Pantai Dalam, dekat Brickfields dan menahan seorang lelaki. Hasil soal siasat, kita tahan seorang lagi lelaki di sebuah kediaman di residensi itu.

"Kemudian, kita tahan dua lelaki masing-masing di sebuah rumah di Shah Alam dan pasar raya di Kerinchi kerana disyaki terbabit sindiket dadah. Hasil tangkapan empat lelaki itu, kita rampas daun, pokok, benih dan bud ganja dengan nilai keseluruhan RM491,520.

"Modus operandi mereka jual bud ganja yang bernilai tinggi di pasaran. Suspek aktif di Lembah Klang sejak tiga bulan lalu menggunakan unit residensi mewah dengan sewaan RM4,500 sebulan.

"Siasatan turut mendapati benih ganja diimport dari luar negara, selain menggunakan teknologi canggih untuk tanam dan jaga pokok ganja. Ujian saringan air kencing pula mendapati tiga orang positif dadah tetrahydrocannabinols (THC), manakala dua suspek ada rekod jenayah serta dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas serbuan di sebuah residensi di Bandar Baru Seri Petaling pada jam 11.55 malam kelmarin, Sahar berkata, penahanan seorang lelaki dan seorang wanita membawa kepada penemuan sebuah premis di kawasan sama yang dijadikan stor dan tempat memproses dadah.

"Hasil serbuan, kita temui MDMA, ketamin, pil ekstasi dan Erimin 5 dengan nilai keseluruhan RM545,325. Dadah itu dipercayai untuk dijual di premis hiburan dan boleh dibekalkan kepada 19,416 pengguna.

"Siasatan turut mendapati sindiket itu beroperasi sejak enam bulan lalu dan menggunakan premis kondominium mewah dengan kawalan keselamatan ketat untuk mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Dua suspek itu direman tujuh hari hingga Rabu depan, manakala empat lagi direman tempoh sama berakhir sehari sebelumnya mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Berita Harian X