KOTA TINGGI: Seorang daripada 14 mangsa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terselamat dalam kejadian bot pancung karam di Perairan Tanjung Balau, Rabu lalu meninggal dunia, pagi tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, mangsa lelaki sebelum itu dilaporkan berada dalam kritikal ketika dijumpai pada hari pertama insiden.
Katanya, mengikut laporan yang diterima, mangsa berusia 30-an disahkan meninggal dunia disebabkan lemas.
"Pihak kami menerima berita sedih seorang mangsa yang selamat pada hari pertama, meninggal dunia awal pagi tadi di Hospital Kota Tinggi.
"Mangsa dalam keadaan kritikal ketika ditemui dan meninggal dunia hari ini disebabkan lemas.
"Ia menjadikan jumlah mangsa yang selamat 13 orang, masih hilang 16 orang dan 21 meninggal dunia," katanya pada sidang media di Pusat Operasi Carilamat di Pantai Tanjung Balau, hari ini.
Dalam Op Carilamat hari ketiga, pasukan penyelamat berjaya menemui satu lagi mayat dipercayai PATI pada kedudukan 2.7 batu nautika di Perairan Tanjung Pungai.
Semalam, lapan mayat lagi ditemui pada hari kedua operasi dengan 11 mayat ditemui terdampar di Pantai Tanjung Balau kelmarin.